7 Inisiatif CISM

Inisiatif Pertama

Kepimpinan

Badan pentadbiran organisasi/syarikat hendaklah mempamerkan kepimpinan dan komitmen dalam aspek sistem pengurusan pencegahan rasuah. Ini boleh dilakukan menerusi pelaksanaan sistem pencegahan rasuah dalam organisasi/syarikat tersebut. Antara tindakan yang boleh diambil oleh badan pentadbiran organisasi/syarikat adalah dengan membangunkan, menetapkan dan menilai semula polisi pencegahan rasuah sedia ada.

Inisiatif Kedua

Kod Etika

Kod etika yang jelas hendaklah diwujudkan bagi menzahirkan komitmen untuk mengelak daripada rasuah termasuk menawar, menerima dan meminta suapan yang menjurus kepada kesalahan rasuah. Nilai teras organisasi/syarikat, prinsip, sokongan pengurusan dan tanggungjawab juga harus diterapkan ke dalam kod etika. Kod etika yang baik  harus mengandungi komitmen pematuhan melalui penguatkuasaan dan pemantauan oleh pentadbiran organisasi/syarikat.

Inisiatif Ketiga

Polisi Mengenai Pencegahan Rasuah

Polisi pencegahan rasuah menggariskan keperluan organisasi untuk mencegah, mengesan dan mengambil tindakan terhadap isu rasuah serta pematuhan terhadap undang-undang berkaitan pencegahan rasuah. CISM menekankan 13 polisi yang perlu disediakan oleh organisasi/syarikat.

Polisi pencegahan rasuah menyatakan toleransi sifar terhadap sebarang perbuatan rasuah. Dengan mewujudkan polisi ini, organisasi/syarikat perlu menyediakan prosedur yang berkaitan yang perlu dipatuhi oleh seluruh warganya termasuk lembaga pengarah dan pihak ketiga yang mempunyai hubungan perniagaan dengannya. Organisasi/syarikat juga perlu menyediakan saluran untuk mengisytiharkan kepentingan yang wujud dalam operasi perniagaan serta menyediakan panduan bagi menjalankan perniagaan mengikut amalan etika terbaik.

Polisi ini merupakan mekanisme kawalan dalaman bagi memudahkan pendedahan sebarang salah laku atau tingkah laku yang tidak wajar mengikut takrifan Akta Perlindungan Maklumat 2010 yang berlaku dalam operasi organisasi/syarikat. Oleh itu, organisasi/syarikat perlu menyatakan dengan jelas dasarnya mengenai toleransi sifar terhadap rasuah.

Prosedur yang berkaitan juga perlu dibangunkan serta dipatuhi oleh seluruh warganya termasuk pihak ketiga. Pada masa yang sama, ruang dan saluran aduan berkenaan salah laku atau penyelewengan perlu diwujudkan berdasarkan prosedur tersebut. Kerahsiaan identiti pemberi maklumat hendaklah terjamin.

Polisi ini diwujudkan sebagai panduan melibatkan sebarang rujukan kepada pihak berkuasa mengenai aktiviti melaporkan gejala rasuah dan salah laku lain yang melanggar perundangan sedia ada dalam syarikat/organisasi. Ia perlu menyatakan secara jelas dan komprehensif mengenai kewajipan melapor kepada pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya ada kakitangan/pihak ketiga melakukan pelanggaran undang-undang. Maklumat berkaitan dengannya hendaklah disampaikan dengan betul dan jelas kepada semua kakitangan serta pihak ketiga.

Tanggungjawab korporat (CR), tajaan dan derma merupakan antara perkara yang dianggap berisiko tinggi kerana tidak termasuk dalam operasi hakiki organisasi/syarikat. Oleh itu, penting untuk organisasi/syarikat membangunkan polisi agar dapat dijadikan garis panduan bagi tujuan justifikasi pentadbiran CR, penerimaan/pemberian tajaan dan penerimaan/pemberian  derma.

Bagaimanapun, pemberian langsung kepada organisasi politik atau program yang dianjurkan oleh organisasi politik hendaklah dikategorikan berasingan daripada polisi ini. Selain itu, disyorkan juga agar organisasi/syarikat menyediakan dokumen kontrak.

Bayaran kemudahan atau permudahan (juga dikenali sebagai bayaran pemudah cara) amat mudah disalahgunakan. Oleh itu, organisasi/syarikat perlu melarang penglibatan warganya iaitu dengan mewujudkan polisi yang tidak membenarkan bayaran kemudahan atau permudahan ini dilakukan dalam apa jua operasi organisasi/syarikat. Di samping itu, laporan mengenainya juga perlu dibuat kepada pengurusan tertinggi dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Bagaimanapun, bayaran kepada pihak ketiga untuk mengelakkan kejadian yang melibatkan nyawa tidak boleh dikategorikan sebagai bayaran kemudahan/permudahan serta tidak tertakluk kepada polisi ini.

Pemberian hadiah, keraian dan hospitaliti sering kali dilakukan oleh organisasi/syarikat untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan perniagaan. Adakala ia boleh disalahgunakan dan dianggap sebagai rasuah apabila pemberian hadiah atau keraian dilakukan secara berlebihan melibatkan kos yang melampau bagi mendapatkan balasan yang tidak selari dengan undang-undang. Oleh itu, polisi berkaitan dengannya perlu dibangunkan dan pernyataan mengenai hadiah, keraian dan hospitaliti mesti dibuat dengan jelas.

Organisasi/syarikat boleh memilih untuk membangunkan Polisi Tidak Menerima Hadiah atau Polisi Menerima Hadiah berdasarkan model perniagaannya. Bagi polisi berkaitan keraian dan hospitaliti pula, organisasi/syarikat perlu menggariskan keperluan kebenaran dan kelulusan pegawai tertinggi/bertanggungjawab serta penyimpanan rekod keraian/hospitaliti yang diterima. Tujuan meraikan pihak ketiga dan menerima keraian hendaklah dinyatakan dengan jelas.

Polisi berurusan dengan pihak ketiga hendaklah dibangunkan agar urusan perniagaan yang dijalankan tidak terlibat dalam rasuah dan amalan perniagaan yang tidak wajar. Pihak ketiga yang dimaksudkan terbahagi kepada dua kategori utama iaitu rakan perniagaan dan pegawai badan awam.

Rakan perniagaan merupakan pihak luaran yang mempunyai atau merancang untuk mewujudkan suatu bentuk hubungan perniagaan dengan organisasi/syarikat seperti pelanggan, rakan usaha sama, kontraktor, pembekal dan pelabur. Manakala pegawai badan awam pula adalah mana-mana individu yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam. Ini termasuk anggota pentadbiran, ahli parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan dan individu lain yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang termasuk orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.

Pembangunan polisi ini amat penting bagi membolehkan organisasi/syarikat menyatakan dengan jelas pendiriannya mengenai sumbangan politik. Polisi tersebut perlu mengandungi garis panduan yang turut merangkumi kuasa membuat kelulusan, penyimpanan rekod sumbangan yang lengkap dan pelaporan berkaitan sumbangan yang telah dibuat kepada pihak berkepentingan.

Sumbangan politik boleh dibuat kepada mana-mana parti politik yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966  atau parti politik yang berdaftar di negara syarikat menjalankan perniagaan.

Organisasi/syarikat perlu membangunkan polisi menentang dan melarang sebarang kegiatan pengubahan wang haram supaya ia terhindar daripada terkait dengan penggunaan wang yang berasal daripada tabung hasil daripada apa jua jenayah terancang.

Polisi tersebut hendaklah menyatakan dengan jelas keperluan organisasi/syarikat melaporkan dengan segera kepada badan kawal selia dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan apabila menyedari terdapat aktiviti yang mencurigakan. Garis panduan juga perlu dibangunkan mengenai akauntabiliti, tanggungjawab dan pelaporan dalaman yang berkaitan serta sentiasa mengemas kini/mematuhi kehendak atau resolusi yang diluluskan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan seperti Bank Negara dan United Nations Security Council (UNSC) untuk menangani tindakan keganasan.

Aktiviti perolehan mempunyai risiko rasuah paling tinggi. Tanpa panduan tetap mengenainya, akan ada kecenderungan untuk berlaku salah guna kuasa dalam kalangan individu yang boleh memutuskan keputusan perolehan bagi mana-mana organisasi/syarikat.

Oleh itu, organisasi/syarikat perlu membangunkan polisi yang berkaitan bagi memastikan proses perolehan dilakukan dengan adil, telus dan bebas daripada unsur rasuah. Selain itu, pengasingan tugas yang sesuai, pengisytiharan kepentingan, persaingan bebas dan kawalan terhadap rasuah hendaklah dititikberatkan dalam polisi.

Terdapat beberapa jenis perolehan iaitu rundingan terus, tender terbuka/terhad, sebut harga dan pembelian terus.

Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah serta pengambilan kakitangan hendaklah berasaskan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan dan diluluskan. Adalah penting untuk memastikan tiada elemen rasuah dan percanggahan kepentingan dalam proses pelantikan Ahli Lembaga Pengarah serta pengambilan kakitangan.

Surat sokongan merupakan permintaan untuk memberikan “laluan istimewa” yang dibuat oleh individu atau organisasi/syarikat berpengaruh kepada seseorang individu atau sesebuah organisasi/syarikat. Permintaan umumnya dibuat melalui surat, faks, e-mel dan sebagainya bagi tujuan untuk menyokong sesuatu permohonan atau mempengaruhi sesuatu pertimbangan yang dibuat melibatkan individu/organisasi yang diberikan sokongan.

Organisasi/syarikat hendaklah membangunkan polisi berkaitan sebagai panduan untuk menguruskan surat sokongan yang diterima daripada pihak ketiga terhadap sebarang urusan perniagaan.

Pengisytiharan harta merupakan pengisytiharan kali pertama, harta tambahan, pelupusan harta dan pengakuan tiada perubahan ke atas pemilikan harta atau apabila dikehendaki untuk berbuat demikian. Individu yang perlu membuat pengisytiharan harta adalah Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan termasuklah harta yang dimiliki oleh suami/isteri serta anak di bawah tanggungan.

Polisi ini penting bagi menunjukkan komitmen seluruh warga organisasi/syarikat mengekalkan integriti, keterbukaan dan ketelusan. Kegagalan untuk membuat pengisytiharan harta boleh menyebabkan kakitangan dikenakan tindakan tatatertib. Bagaimanapun, polisi ini bukan mandatori di bawah CISM.

Inisiatif Keempat

Pengurusan Risiko Rasuah

Pengurusan risiko rasuah merupakan satu kaedah pengurusan untuk mengenal pasti, memperbaiki dan memperkemaskan sistem operasi dan kawal selia pelaksanaan sesuatu aktiviti organisasi. Melalui pendekatan ini, sebarang ruang salah guna kuasa, penyelewengan dan risiko jenayah rasuah dapat dikesan di peringkat awal dan diambil tindakan pembetulan yang sewajarnya melalui penyediaan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah.

Inisiatif Kelima

Latihan & Komunikasi

Kesedaran dan latihan

Organisasi/syarikat hendaklah merancang dan melaksanakan inisiatif kesedaran dan latihan pencegahan rasuah yang bersesuaian untuk warga kerja. Perancangan dan pelaksanaannya yang berdasarkan keputusan penilaian risiko dapat membantu organisasi/syarikat mengatasi isu-isu berkaitan rasuah.

Kempen kesedaran pencegahan rasuah serta latihan yang sepadan dengan tugas, situasi dan risiko rasuah hendaklah dibuat dengan berterusan dan dikemas kini secara berkala agar dapat ditambah baik. Selain itu, kempen kesedaran dan latihan ini juga boleh dilaksanakan kepada pihak luar yang berkepentingan.

Maklumat yang lengkap berkaitan pelaksanaan program kesedaran dan latihan perlu disimpan dalam bentuk dokumen sebagai rujukan.

Komunikasi

Organisasi/syarikat hendaklah merancang dan menentukan komunikasi dalaman dan luaran yang relevan mengenai sistem pengurusan pencegahan rasuah. Ini merangkumi apa, bila dan bagaimana mesej hendak disampaikan serta bahasa yang akan digunakan. Selain itu, organisasi/syarikat juga perlu menentukan siapa penyampai dan penerima mesej tersebut.

Polisi pencegahan rasuah hendaklah disebarkan kepada semua kakitangan dan rakan perniagaan melalui saluran komunikasi dalaman dan luaran.

Inisiatif Keenam

Penilaian Prestasi

Organisasi hendaklah mewujudkan polisi serta prosedur memantau, mengukur, menganalisis dan menilai prestasi serta keberkesanan sistem pengurusan pencegahan rasuah. Ini boleh dilakukan melalui mekanisme penyimpanan rekod dan keputusan penilaian prestasi sistem pengurusan pencegahan rasuah.

Inisiatif Ketujuh

Pelaporan Pencegahan Rasuah

Mekanisme pelaporan aktiviti dan isu melibatkan pencegahan rasuah hendaklah diwujudkan di peringkat dalaman organisasi/syarikat (contoh: mesyuarat lembaga pengarah) dan luaran (contoh: laporan tahunan). Ini menunjukkan ketelusan organisasi/syarikat, sekali gus meningkatkan keyakinan pemegang saham, pihak berkepentingan dan orang awam.

Bagaimanapun, inisiatif terakhir ini bukan mandatori di bawah CISM.

Skip to content