Program CISM

Pengenalan

Program CISM diperkenalkan selaras dengan penubuhan CISM pada tahun 2010. Ia bertujuan untuk menginstitusikan struktur tadbir urus korporat dan menerapkan nilai-nilai etika dan integriti serta bebas rasuah ke dalam budaya perniagaan negara.

CISM merupakan program yang bersifat fleksibel kerana boleh disesuaikan dengan pelbagai kategori dan saiz syarikat atau organisasi yang berdaftar dan diperbadankan serta menjalankan perniagaan di Malaysia.

Penyertaannya juga adalah percuma dan secara sukarela sebagai tanda komitmen syarikat atau organisasi dalam menangani jenayah rasuah.

Dengan menyertai program CISM, syarikat atau organisasi secara langsung turut menandakan persetujuan mereka untuk mendukung lima Prinsip Antirasuah Bagi Syarikat-Syarikat di Malaysia iaitu:

  • Komitmen untuk menggalakkan nilai integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.
  • Pengukuhan sistem kawalan dalaman yang menyokong pencegahan rasuah.
  • Pematuhan undang-undang, polisi dan prosedur yang berkaitan dengan usaha memerangi rasuah.
  • Pembanterasan segala bentuk gejala rasuah.
  • Menyokong inisiatif pencegahan rasuah oleh kerajaan dan SPRM.

Manfaat pelaksanaan program CISM

Pelaksanaan program CISM yang menyeluruh boleh membantu syarikat dan organisasi mengadakan persediaan awal ke arah mempersiapkan diri dalam menghadapi undang-undang mengenai liabiliti korporat untuk rasuah (corporate liability for corruption) di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Di bawah undang-undang tersebut, syarikat atau organisasi perlu mengambil langkah yang mencukupi bagi memastikan tiada rasuah berlaku dalam syarikat atau organisasi tersebut. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan mesti mengambil kira saiz syarikat atau organisasi, jenis perniagaan dan tahap risiko yang dihadapinya.

Meskipun CISM boleh dijadikan salah satu pembelaan bagi memenuhi peruntukan tatacara mencukupi di bawah seksyen 17A, ia bukanlah suatu pembelaan yang mutlak. Ini kerana hanya mahkamah yang boleh menentukan sama ada tatacara tersebut mencukupi atau sebaliknya.

Selain itu, penyertaan dalam program CISM juga boleh menjadi langkah awal persediaan ke arah pensijilan MS ISO 37001:206 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang membolehkan syarikat atau organisasi mencegah, mengesan, mengawal dan bertindak terhadap risiko rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan tadbir syarikat atau organisasi.

Syarikat atau organisasi yang berminat untuk menyertai program CISM atau yang sedang melaksanakannya boleh berhubung dengan pihak CISM dan mana-mana agensi ahli RTD CISM bagi mendapatkan khidmat nasihat dari semasa ke semasa, khususnya mengenai pelaksanaan inisiatif pencegahan rasuah.

Taklimat dan Kursus Komprehensif CISM turut ditawarkan kepada mana-mana syarikat atau organisasi yang berminat.

Skip to content