Latar Belakang CISM

Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) telah diperkenalkan pada tahun 2010 sebagai satu daripada aspirasi kerajaan untuk memerangi rasuah dalam sektor awam dan swasta. Ia bermula dengan pengumuman enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Indeks Prestasi Utama (KPI) pada tahun 2009 bagi menilai pencapaian NKRA, yang mana dua daripada enam bidang tumpuan NKRA ialah mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah dalam kedua-dua sektor.

Objektif utama CISM adalah untuk memantapkan budaya tadbir urus yang baik dan berintegriti dalam komuniti perniagaan di Malaysia.

Pada peringkat awal, Meja Bulat Integriti Korporat (RTD) telah dibentuk bagi membantu CISM mencapai objektifnya. Ketika itu, ahli-ahli RTD CISM terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM), Transparency International Malaysia (TI-M), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dan NKRA Memerangi Rasuah.

Bagi melengkapkan CISM, Ikrar Integriti Korporat atau Corporate Integrity Pledge (CIP) telah diperkenalkan pada tahun 2011 dan diikuti oleh rantaian nilai CISM. Rantaian nilai diperkenalkan untuk memudah dan menyelaraskan pelaksanaan CIP dalam komuniti perniagaan negara. Rantaian ini membantu komuniti perniagaan mengenal pasti jurang dan cabaran yang dihadapi untuk melaksanakan integriti korporat.

Kajian semula telah dilakukan pada tahun 2017 terhadap keberkesanan CISM dan tindakan pengukuhan program CIP serta peranan ahli RTD turut dilaksanakan. Antara tindakan yang diambil adalah menyatu dan mengukuhkan peranan RTD dengan menilai semula peranan setiap anggota.

Berikutan itu, rantaian nilai CISM telah diperkemaskan pada tahun 2018 bagi menambah baik mekanisme pelaksanaan dan pemantauan serta membantu komuniti perniagaan mewujud dan melaksanakan CISM di syarikat atau organisasi masing-masing. Jumlah inisiatif CISM telah dikurangkan daripada 10 kepada tujuh. Perubahan turut dilakukan terhadap keanggotaan RTD. Mulai Januari 2023, keanggotaannya adalah terdiri daripada lapan organisasi iaitu SPRM, IIM, TI-M, SSM, SC, Bursa Malaysia, Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Skip to content