Keanggotaan Meja Bulat Integriti Korporat

Meja Bulat Integriti Korporat (RTD) CISM diwujudkan pada tahun 2010 bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan nilai-nilai beretika dan bebas rasuah dalam komuniti perniagaan di Malaysia di samping menyokong inisiatif-inisiatif integriti dalam komuniti berkenaan. Ini supaya nilai integriti, etika dan tanggungjawab perniagaan dipertingkatkan di bawah pelan antirasuah, garis panduan dan amalan baik industri berkenaan.

Selain itu, RTD CISM juga memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan CISM mencapai visi dan misinya. Oleh itu, setiap agensi yang menganggotainya diberikan peranan dan tanggungjawab utama seperti berikut:

  • Penjaga – Sebagai pusat rujukan pelaksanaan inisiatif-inisiatif CISM bagi syarikat atau organisasi yang menyertai program CISM
  • Pelaksana – Memberikan khidmat nasihat mengenai pelaksanaan inisiatif-inisiatif CISM kepada syarikat atau organisasi yang menyertai program CISM
  • Penggalak – Mempromosikan CISM kepada pemegang-pemegang taruh

Penjaga (Custodian)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Sebuah organisasi yang ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] (Akta SPRM 2009) adalah agensi penguatkuasa dan peneraju utama kepada pengurusan anti-rasuah di Malaysia. Matlamat utama penubuhan SPRM mengikut Akta adalah untuk menggalakkan integriti, kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta serta mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya.

Pelaksana (Implementer)

Institut Integriti Malaysia (IIM)

Institut Integriti Malaysia (IIM) yang ditubuhkan pada bulan April 2004 kini berperanan melalui tiga fungsi teras utama merangkumi aspek pendidikan, advokasi dan latihan, penyelidikan dan penerbitan serta kerjasama strategik dengan pemegang taruh dari pelbagai bidang.

IIM juga diberikan peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tatakelola sektor awam dan swasta bagi membantu negara dalam merealisasikan objektif untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti, dan bukannya rasuah.

Transparency International Malaysia (TI-M)

TI-M merupakan organisasi bebas bukan kerajaan yang komited terhadap usaha memerangi rasuah melalui pelaksanaan advokasi dan kajian serta pemberian khidmat rundingan profesional bagi membantu syarikat/organisasi untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah.

Penggalak (Promoter)

Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD)

Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) merupakan sebuah badan korporat yang ditubuhkan di bawah Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957. Akta ini memberi kuasa kepada MKD menyertai kontrak, mengambil alih, membeli, mengambil, memegang dan menikmati segala harta alih dan harta tidak alih.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

SSM merupakan badan statutori yang mengawal selia syarikat-syarikat dan perniagaan yang berdaftar di Malaysia. Peranan utama SSM adalah untuk mempromosikan tadbir urus korporat, memperbadankan syarikat dan mendaftarkan perniagaan serta membekalkan maklumat korporat kepada orang awam.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

SC merupakan badan statutori yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan berperanan untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia)

Bursa Malaysia merupakan syarikat pemegangan bursa yang diperbadankan pada tahun 1976 dan disenaraikan pada tahun 2005. Ia telah membantu lebih daripada 900 syarikat dalam menjana modal sama ada melalui Pasaran Utama bagi syarikat bermodal besar, Pasaran ACE bagi syarikat yang terdiri daripada pelbagai saiz, atau Pasaran LEAP bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang membangun. Selain itu, ia turut menyediakan akses mudah kepada pelbagai produk dan perkhidmatan pelaburan, menghubungkan peserta pasaran domestik dan luar negara kepada kepelbagaian peluang yang membolehkan semua peserta pasaran berkembang dan meraih keuntungan.

Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia (MATRADE)

MATRADE merupakan agensi promosi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang ditubuhkan di bawah Akta MATRADE 1992 bagi membantu pasaran eksport di samping memberi bantuan kepada syarikat Malaysia dalam mengembangkan perniagaan di peringkat global.

Skip to content