Institut Integriti Malaysia (IIM) telah berjaya menganjurkan Program Executive Talk & Majlis Penyampaian Sijil Pematuhan Corporate Integrity System Malaysia (CISM) pada 7 April 2026 di Auditorium, Menara Integriti, IIM.
Program ini telah dihadiri oleh hampir 40 orang wakil syarikat-syarikat yang telah menerima Sijil Penyertaan CISM. Ia juga telah menghimpunkan pemain industri dalam sektor korporat sebagai platform perkongsian ilmu serta pengukuhan komitmen terhadap amalan integriti dan tadbir urus yang baik dalam organisasi.
Program dimulakan dengan ucapan aluan daripada Presiden & KPE IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim merangkap Pengerusi RTD CISM dan sesi Executive Talk telah disampaikan oleh YBrs. Puan Nurirdzuana Ismail, Setiausaha Agung Transparency International Malaysia.
Ucapan beliau telah mengetengahkan kepentingan memperkukuh sistem integriti organisasi secara holistik, termasuk peranan kepimpinan, pengurusan risiko rasuah serta pelaksanaan kawalan dalaman yang berkesan, sekali gus memberi penekanan terhadap kepentingan Audit Pematuhan CISM dalam kalangan peserta program.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Pematuhan CISM kepada empat (4) syarikat berikut:
- DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH)
- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB)
- Perak Corporation Sdn Bhd
- Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)
Syarikat-syarikat ini telah menyertai Projek Rintis Audit Pematuhan CISM dan berjaya memenuhi keperluan yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi terhadap pelaksanaan sistem integriti yang berkesan.
Melalui inisiatif ini, IIM terus komited dalam menyokong usaha syarikat-syarikat untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan tahap ketelusan serta membudayakan integriti dalam operasi harian.
Program ini juga menjadi platform penting dalam menggalakkan lebih banyak syarikat untuk menyertai Program CISM, khususnya Audit Pematuhan CISM sebagai langkah proaktif dalam mengukur keberkesanan sistem integriti yang dibangunkan.









