AIGA 2022 iktiraf organisasi tunjuk komitmen, amal integriti

KUALA LUMPUR: Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang menunjukkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti dalam organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata AIGA menjadi satu daripada pendekatan baharu yang diperkenalkan IIM untuk memantapkan kualiti dan prestasi tata kelola sektor awam serta swasta.

Beliau berkata, selaras dengan peranan IIM sebagai peneraju utama pembudayaan dan penerapan integriti serta tata kelola di negara ini, penganjuran AIGA dapat mewujudkan ruang untuk mencungkil keupayaan, kemampuan, komitmen serta kesungguhan sektor awam dan swasta melaksanakan sistem kawalan dalaman pengurusan integriti.

“AIGA adalah platform terbaik di negara ini bagi organisasi awam dan swasta menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan sistem pengurusan integriti dalam organisasi.

“Proses penilaian dilakukan pihak ketiga membabitkan individu berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan integriti, tata kelola baik serta antirasuah.

“Individu ini juga mewakili sektor awam, sektor swasta dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penganjuran AIGA secara rintis bermula pada 2020 dengan kerjasama IIM dan Yayasan Pahang (YP) yang sebelum itu hanya diadakan pada peringkat negeri Pahang saja membabitkan 41 organisasi kerajaan dan swasta.

Susulan kejayaan projek rintis AIGA, Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi IIM ketika itu, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengusulkan supaya AIGA dikembangkan penganjurannya ke peringkat kebangsaan.

AIGA 2022 yang diadakan Rabu ini adalah julung kali diadakan di Malaysia dan bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebanyak 142 penyertaan termasuk 115 organisasi daripada agensi kerajaan, syarikat multinasional (MNC), syarikat awam berhad (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat penilaian AIGA 2022.

Wan Suraya berkata, selari dengan konsep penambahbaikan berterusan, penganjuran AIGA akan dilaksanakan secara tahunan.

Beliau berkata, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga menzahirkan komitmen kepada IIM untuk bekerjasama dalam penganjuran AIGA 2023 yang bakal dibuka pendaftarannya pada Rabu ini.

“Kita berharap penyertaan bagi AIGA 2023 dapat menarik minat lebih banyak lagi organisasi daripada sektor awam dan swasta bagi memantapkan tata kelola terbaik serta integriti organisasi masing-masing.

“Langkah ini seterusnya dapat mencegah jenayah rasuah, penyelewengan serta salahguna kuasa daripada berleluasa,” katanya.

Skip to content