Peruntukan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Pindaan 2018) telah mula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 kepada organisasi-organisasi komersial yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 serta menjalankan perniagaan di Malaysia. Ini turut meliputi syarikat-syarikat kecil di bawah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Justeru, bagi meningkatkan kesedaran syarikat mengenai akta tersebut dan kepentingan pelaksanaan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) sebagai salah satu mekanisme pembelaan kepada peruntukan liabiliti korporat, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) telah menganjurkan Forum Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) pada 25 November 2024 di Hotel Majestic Kuala Lumpur.
Forum ini disertai oleh 130 orang peserta yang terdiri daripada wakil-wakil syarikat yang mendaftar dengan SME Corp. Malaysia.
Program yang julung-julung kali diadakan secara kolaborasi oleh kedua-dua agensi ini telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Rahman Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif IIM dan disaksikan oleh YBrs. Encik Zaky Moh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Perniagaan) SME Corp. Malaysia.
Selaras dengan hasrat untuk menjadikan forum ini sebagai platform mempromosi serta memperkukuhkan budaya tadbir urus yang baik dan berintegriti dalam komuniti perniagaan di Malaysia, Forum CISM menampilkan sesi khas Executive Talk yang bertajuk ‘Membentuk Kepimpinan Beretika: Strategi Tatakelola dan Kemampanan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)’. Perkongsian tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengerusi Eksekutif, Dagang NeXchange Berhad (DNeX).
Sementara sesi forum bertajuk ‘Memahami Sistem Integriti Korporat Malaysia: Pelaksanaan Tatacara Mencukupi Sebagai Pembelaan Seksyen 17A – Liabiliti Korporat’ pula menampilkan YBhg. Dato’ Sri Dr. Akhbar Satar, Ahli Lembaga Pengarah IIM serta YBhg. Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff, Pengarah Eksekutif, Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) Universiti Malaya sebagai ahli panel dan Encik Rama Sockalingam Nagappan, Pengurus Besar, Audit Dalaman Kumpulan, Duopharma Biotech Berhad sebagai moderator.
Penganjuran Forum CISM yang berlangsung selama separuh hari ini bakal menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program kolaborasi antara IIM dan SME Corp. Malaysia pada masa hadapan.