
Institut Integriti Malaysia (IIM) telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi perbincangan bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 27 Februari 2025. Kunjungan ini bertujuan untuk mempromosikan Program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) serta memulakan program Outreach CISM di zon utara dengan Kedah sebagai negeri perintis. Delegasi IIM diketuai oleh Encik Mohd Rais Ramli, Pengarah Pusat Integriti Sektor Perniagaan (PISP) dan disambut baik oleh Encik Mohd Mizar bin Morat, Pengarah JITU.
Perbincangan tertumpu kepada strategi pelaksanaan CISM, termasuk mengenal pasti kumpulan sasar seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta sektor swasta di Kedah. Selain itu, program ini juga memberi fokus kepada kepentingan CISM dalam membantu organisasi mengukuhkan tadbir urus dan mengelakkan risiko liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Secara keseluruhannya, pertemuan ini menjadi langkah awal yang proaktif dalam memastikan tadbir urus yang lebih berintegriti dan bebas daripada salah laku.