Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah berjaya melaksanakan Program Seminar Integriti Korporat (SIK) pada 16 Oktober 2025 (Khamis) bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah.
Program yang dihadiri oleh seramai 70 orang pemegang taruh MADA ini bertujuan memperkukuh kefahaman terhadap kepentingan integriti dan tadbir urus baik dalam operasi perniagaan, selaras dengan keperluan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Liabiliti Korporat) serta amalan terbaik pencegahan rasuah di peringkat korporat.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. Encik Mohd Hafizi Zakaria, Ketua Cawangan Pengurusan Sumber Manusia MADA, manakala ucapan perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Harisham Ibrahim, Ketua Pegawai Sektor Operasi, IIM.
Antara pengisian utama program ialah:
Sesi I: Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Liabiliti Korporat): Kunci Kelestarian & Kepercayaan Perniagaan oleh YBrs. Puan Fareedah Kamarulzaman, Ahli EXCO Transparency International Malaysia.
Sesi II: Pembelaan Syarikat: Tatacara Mencukupi dan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) oleh YBrs. Encik Mohd Rais Ramli, Pengarah Pusat Integriti Sektor Perniagaan, IIM.
Penganjuran seminar ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh komitmen organisasi untuk membudayakan integriti, membina sistem kawalan dalaman yang berkesan serta memastikan pematuhan terhadap keperluan perundangan semasa. Secara tidak langsung, program ini juga berperanan dalam mempromosikan pelaksanaan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) sebagai mekanisme praktikal dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang berdaya tahan dan berintegriti.








