Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat Raih 400 Penyertaan

Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 7 Mei 2024 yang lalu membuktikan peranan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang signifikan ke arah membantu memenuhi aspirasi negara agar Malaysia dapat berada dalam kalangan 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada dekad akan datang. 

Hal ini dapat dilihat apabila IIM dilantik sebagai agensi peneraju untuk substrategi 10 di bawah Strategi 3: Suara Rakyat dalam NACS iaitu ‘Memanfaatkan program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) untuk menggalakkan tatakelola yang baik, integriti dan antirasuah dalam sektor swasta’.

Serius dengan komitmen yang diberikan, IIM telah menganjurkan Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (KNSIK) 2024 pada 21 November 2024 yang lalu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur dengan kebanyakan daripada 400 orang peserta adalah wakil-wakil syarikat komersial, khususnya daripada Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).  

Bertemakan ‘Kelestarian Integriti Merealisasi Aspirasi Negara’, penganjuran konvensyen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan sistem integriti korporat dalam komuniti perniagaan di samping memantapkan pemahaman mengenai keperluan pelaksanaan sistem ini dalam mewujudkan daya saing serta budaya perniagaan yang sihat dan berintegriti, sekali gus mempromosikan pelaksanaan CISM dalam negara.

Konvensyen yang julung-julung kali diadakan oleh IIM ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Akhbar Satar, Ahli Lembaga Pengarah IIM dengan disaksikan oleh YBrs. Tuan Haji Rahman Mohd Din, Ketua Pegawai Eksekutif IIM.

Dalam ucapan beliau, YBhg. Dato’ Sri Dr. Akhbar sempat menyatakan hasrat untuk melihat penyertaan dalam Program CISM menjadi salah satu kriteria kelayakan syarikat membida kontrak kerajaan pada nilai perolehan di bawah nilai RM10 juta. Beliau juga mencadangkan agar syarikat-syarikat ini turut memperoleh insentif pengecualian cukai sepertimana yang dicadangkan dalam inisiatif-inisiatif strategi di bawah NACS melibatkan pensijilan MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS). 

Perkongsian KNISK 2024 yang berlangsung selama sehari ini menampilkan barisan panel dan pembentang daripada pelbagai agensi yang berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam bidang integriti, tatakelola dan peruntukan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Forum bertajuk ‘Amalan Integriti Dalam Dunia Korporat Panel’ telah disampaikan oleh Ir. Haji Mohd Prasad Hanif, Setiausaha Agong, Association of Development Finance Institutions of Malaysia (ADFIM), Puan Suhailah Mohamed Abdulla, Ketua Pegawai Integriti dan Jaminan, SD Guthrie Berhad dan Encik Shahrul Nizar Mohd Sharif, Pengarah Unit Integriti, Kementerian Kerja Raya (KKR). Sesi tersebut dikendalikan oleh  Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Integriti dan Governans di Kumpulan Syarikat PROLINTAS merangkap Ahli Lembaga Pengarah IIM.

Manakala pembentangan  bertajuk ‘Seksyen 17A Akta SPRM 2009: Hala Tuju Kemampanan Integriti Korporat’ serta  ‘Memupuk Integriti Korporat: Noktah Kepada Ketidakpatuhan Amalan Berintegriti’ masing-masing disampaikan oleh YBhg. Datuk TPj Mohd Zaki Hassan, Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola, SPRM dan Dr. Ismet Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG). Manakala ‘Pengenalan: Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) – Cara Mudah Melaksanakan Tatacara Mencukupi’ disampaikan oleh Encik Mohd Rais Ramli,  Pengarah Pusat Integriti Sektor Perniagaan, IIM.

Penganjuran KNSIK 2024 turut mendapat kerjasama daripada SPRM, Transparency International Malaysia (TI-M), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD], Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysian Alliance of Corporate Directors (MACD).

Skip to content